HURAIAN TEMA HARI GURU 2018
GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN
|
DEFINISI
- GURU: Guru merupakan individu penting serta berperanan sebagai pendidik yang mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid.
- PEMACU: Penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam memastikan kejayaan dan pencapaian sasaran.
- TRANSFORMASI: Membawa maksud melakukan perubahan
terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya
kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna.
- PENDIDIKAN: Bermaksud perihal mendidik yang merujuk kepada proses atau aktiviti untuk membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.
HURAIAN
- Tema Hari Guru ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam
menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen
penting dalam merealisasi transformasi melalui peringkat akar umbi
pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020), guru perlu
memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara
dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan
menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan.
- Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi bagi
memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta
identiti nasional seperti yang dirangka dalam PPPM 2013-2025. Dalam
usaha menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), guru memainkan
peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui
negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan
berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.
- Dalam konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah
bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang
berakar nasional dan berakal internasional. Justeru itu, guru perlu
sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa
kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras
tinggi serta world class thinking.